Thursday, May 24, 2012

KERINDUAN DAN KECINTAAN RASULULLAH

KERINDUAN DAN KECINTAAN RASULULLAH 
Oleh: Che Adzha

YA Allah,Hidupkan rasa cinta ini pada baginda nabi saw. Semoga dengan cinta suci ini, membawa kita terbang ke syurga Firdausi. Penuh kebahagiaan menatap wajah suci nabi saw, dan mendengar ucapan “engkau umat ku dari baginda nabi saw”. Kita umat akhir zaman, yg belum pernah menatap wajah nabi saw,tetapi apabila menatapi sirah nabi saw, kita akan mengerti betapa indah wajah suci nabi,betapa indah akhlak nabi.Jika sekali memandang,terasa tidak mahu berpisah denganya.

Mencintai nabi mampu merubah peribadi seseorang, dari kasar kepada lembut, dari kejam kepada manusia yang tinggi nilai kasih sayang. Lihat sahaja Umar Al-khattab, seorang yang pernah menanam anak perempuanya hidup-hidup, pernah menampar adik perempuanya sampai berdarah, dan pernah mencuba membunuh nabi saw, berubah 360 darjah menjadi manusia yang baik pekertinya, apabila menerima islam dan mencintai nabi saw.

Kecintaan kepada baginda s.a.w juga ada pada benda yang tidak bernyawa. Ini ditunjukkan
melalui kisah batang pohon kurma yang telah mati, yang menagis kerana rinduakan nabi saw, walaupun nabi hanya berada 8 langkah daripadanya. Bayangkan batang kurma yg telah mati dan sebelum ini ianya adalah tumbuhan, Sesungguhnya ia menagis meratap terhadap rasululllah,dan sesungguhnya ia tak mampu berpisah dengan baginda sekalipun hanya 8 langkah sahaja,apakah hati kita tidak merindui Rasulullah saw..?

Imam Bukhari pernah berpesan, “Ketahuilah bahawa selawat ke atas Rasulullah adalah sebagai tanda mencintai Baginda. Orang yang kering lidahnya daripada membaca selawat adalah tanda orang yang tidak cintakan Baginda dan tidak akan memperoleh syafaat Baginda.”

“Barang siapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi, dan 10 kali pada waktu petang setiap hari ia akan beroleh syafaatku pada hari kiamat.” (Hadis riwayat at-Tabrani)”

 Antara fadilat selawat keatas nabi s.a.w ialah mendapat keampunan Allah serta ditutup segala keaiban, ditutup perasaan dukacita selain mendapat kurnia makam dekat kepada Rasulullah di akhirat. Dan banyak lagi kelebihan selawat keatas nabi s.a.w,antaranya setiap kali selawat keatas nabi akan dituliskan oleh malaikat 10 kali kebaikan dan dihapuskan oleh Allah swt 10 kali kejahatan.

Dengan kita mencontohi akhlak Nabi saw, iaitu dengan iltizam yang tinggi terhadap kecintaan dan mengikuti cara hidup baginda,dengan membaca kisah hidupnya,ciri-ciri peribadinya dan keistimewaan baginda,akan digerakkan kedalam hati kita satu perasaan,iaitu Allah mewujudkan kecintaan baginda didalam diri kita. Percayalah bahawa diri kita yang dicipta ALLAH ini sangat sepadan untuk mencontohi baginda.

Kecintaan sahabat kepada Nabi s.a.w:
Setelah kewafatan nabi s.a.w. Sahabat nabi Bilal berhenti azan dan mengambil keputusan untuk meninggalkan Kota Madinah dan berhijrah ke Syria. Dan sehinggalah pada zaman Umar menjadi amirul mukminin, Saidina Umar bertanya khabar tentang bilal,yang sudah lama membawa diri dan meninggalkan kota madinah.Selepas itu Saidina Umar meminta sahabat-sahabat membawa bilal ke Kota Madinah.

Setelah itu sahabat-sahabat membawa Bilal ke Kota Madinah, dan setelah Bilal sampai di kota madinah pada masa itu ialah waktu zohor. Selepas itu Saidina Umar meminta Bilal azan kerana sudah lama Bilal tidak azan di bumi Madinah, tetapi Bilal menolaknya. Sewaktu mana Bilal dan Saidina Umar sedang bercakap, datangnya Hasan dan Husin cucu kepada Baginda Nabi saw. Cucu kepada Rasulullah ini memegang tangan bilal,mencium tangan Bilal, dan meminta Bilal melaungkan azan,kerana mereka rindu pada suara Bilal. Setelah Bilal mendengar Hasan dan Husin memujuknya, akhirnya Bilal bersetuju kerana pujukan itu dari Hasan dan Husin cucu Rasulullah yang amat Rasulullah cintai.

Setelah itu bilal merangkak naik keatas menara Masjid Nabawi, dan setelah Bilal sebut ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR.. Terdiam semua orang di Kota Madinah, apabila Bilal menyebut kali kedua ALLAHU AKBAR,ALLAHU AKBAR, bercucuran air mata sahabat-sahabat dan seluruh kota Madinah mengis teresak-esak kerana rindukan zaman nabi masih ada. Apabila Bilal menyebut “Ashaduallah illaha ilallah”. Air mata bercucuran di pipi Bilal. Dan apabila Bilal menyebut “Wa, Ashadu Anna Muhammadur Rasulullah” Bilal mengis teresak-esak. Sahabat-sahabat yang melihatnya datang dan memujuk Bilal, sahabat bertanya kenapa dengan kamu wahai Bilal?? Bilal menjawab “ waktu mana aku sebut wa ashadu anna Muhammadur Rasulullah, aku ternampak-nampak yang Rasulullah sedang berjalan-jalan untuk solat berjemaah dengan kita,Aku rindu pada Rasulullah,dan aku rindu pada Rasulullah,dan aku rindu pada Rasulullah..

Begitulah kisah cinta suci sahabat-sahabat kepada Nabi saw. Banyak lagi kisah-kisah cinta sahabat-sahabat kepada Rasulullah.Walaubagaimanapun jangan bersedih jika kita menjadi umat akhir zaman, dan tak pernah melihat nabi saw, kerana Nabi saw tidak pernah melupakan umatnya.

Suatu hari Rasulullah SAW menangis...Para sahabat bertanya: "Apa yg membuatmu menangis ya Rasulullah?" Rasul menjawab: "Aku rindu kepada kekasihku" Sahabat berkata: "Bukankah kami ini kekasihmu ya Rasulullah?" Rasul menjawab: "Bukan.. Kalian adalah sahabatku.. Kekasihku adalah mereka yg hidup pada zaman setelahku, mereka beriman kepadaku walaupun mereka belum pernah melihatku..."(Hr. Bukhori)

Kasih Rasulullah kepada umatnya:
Ketika Nabi saw sedang menghadapi sakaratul maut, Nabi saw bertanya kepda Jibril, “Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?” Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. “Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. “Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi. “Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?” “Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: ‘Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. “Ya Allah, dahsyat rasa maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.” Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan-akan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya, “Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku” – “Peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.”

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan, “Ummatii, ummatii, ummatiii” – “Umatku, umatku, umatku…” Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.

Sahabat pembaca yang saya kasihi, cuba kita tanya diri kita, mampukah kita mencintainya sebagai mana baginda mencintai kita? Dosa apa yang menyebabkan bibir kita berat untuk menyebut selawat keatas baginda? Sama-samalah kita mendalami sirah nabi,kehidupan nabi,akhlak nabi,dan mencontohi Baginda agar bertambah kecintaan kita terhadap Nabi saw. Sebelum saya akhiri tulisan ini,saya ingin ceritakan satu lagi kisah kecintaan Nabi saw kepada Umatnya..

Diriwayatkan dalam satu hadis bahawa pada satu malam, Rasulullah SAW bersembahyang dengan hanya membaca satu ayat ini saja iaitu firman Allah yang bermaksud: “...Jika sekiranya Engkau menyeksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu, dan jika sekiranya Engkau mengampunkan mereka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Maidah, ayat 118). Sepanjang malam itu Rasulullah SAW hanya membaca ayat ini saja pada setiap rakaat sembahyangnya. Diriwayatkan Nabi SAW membaca ayat tersebut sehingga pada masa rukuk dan sujudnya, mengadu kepada Allah dengan membaca ayat ini. "Aku tidak berupaya untuk melakukan apa saja yang dikehendaki, tetapi terpulang kepada-Mu, wahai Tuhanku. - Surah al-Maidah, Ayat 118" Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amar bin Al-'As, bahawa Rasulullah SAW membaca ayat ini dan setelah selesai sembahyang dia mengangkat kedua-dua belah tangannya sambil berdoa kepada Allah dalam keadaan menangis, “Ya Allah Ya Tuhanku, umatku, umatku, umatku...”

Sama-samalah kita menyemai rasa cinta kepada nabi s.a.w.

 Mudah-mudahan perkongsian serba ringkas ini dikurniakan ikhlas,dijauhkannya riya’, ujub dan sum’ah.Seterusnya menjadi ilmu yang memberi manfaat dan diambil manfaat yang berterusan ,yang menjadi teman ketika berseorangan di kubur, dan keberkatan untuk kedua ibu bapa, keluarga dan guru-guruku yang dikasihi. Amin.